Monday, June 21, 2010

.......Surah Al-Fatihah (Pembuka 'Al-Quran)


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.Tunjukilah kami jalan yang lurus.Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. [Surah Al-Fatihah:1-7]

Surah Al-Fatihah dinamakan juga dengan : Umm al-Kitab (bermakna "ibu al-Qur'an" kerana ia merujuk kepada keseluruhan makna Al-Quran),al-Syafiyah (bermakna "yang menyembuhkan" kerana ia memberi kesembuhan kepada penyakit rohani dan jasmani),dan al-Wafiyah (bermakna yang lengkap kerana ia melengkapi makna keseluruhan al-Quran).

Gelaran-gelaran lain bagi Surah ini adalah seperti berikut :

Al-Kafiyah - Bermakna "yang mencukupi" kerana dengan membacanya ketika qiyam,solat seseorang sudah memadai untuk sah,manakala tanpa membacanya menyebabkan solat seseorang batal.

Al-Asas - Bermakna "asas" kerana ia diibaratkan asas Al-Quran dan merupakan Surah yang pertama menurut tertib penyusunannya.

Al-Hamd - Bermakna "segala pujian" kerana ia bermula dengan kalimah ini.

Al-Sab'u Al-Mathani - Bermakna "tujuh tempat berhenti" kerana ia mempunyai tujuh ayat.

Disebut dalam Sahih Al-Bukhari bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Sa'id bin Al-Mu'alla yang bermaksud :

"Aku akan ajarkan kepada engkau satu Surah yang merupakan Surah yang teragung di dalam Al-Quran iaitu ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ yang mempunyai tujuh tempat berhenti dan merupakan (ayat) Al-Quran yang agung yang dikurniakan kepadaku."

Surah Al-Fatihah diwahyukan di Makkah dan bilangan ayatnya ialah tujuh ayat berdasarkan ijma' ulama.Dinamakan Al-Fatihah kerana Surah tersebut menjadi pembuka kepada Al-Quran ,yakni merupakan surah yang pertama dari segi tertib penyusunannya di dalam Al-Quran walaupun bukan dari segi penurunannya.

Surah ini walaupun pendek,sebenarnya merangkumi segala pengertian,objektif dan perbendaharaan Al-Quran secara umum.Justeru itu,surah ini dikenali juga sebagai "Umm al-Qur'an".Ini dapat diperhatikan apabila Surah ini memperkatakan asas-asas agama yang merangkumi:

a) Aqidah merangkumi keimanan kepada Allah SWT,sifat-sifat-Nya,keesaan-Nya,kurniaan nikmat dan keimanan pada hari akhirat. (Ayat 1-5)

b) Ibadah,termasuk persoalan doa,memohon pertolongan dan hidayah,ikhlas,istiqamah dan kesatuan ummah. (Ayat 6)

c) Minhaj kehidupan,iaitu pemilihan tata cara kehidupan yang benar dan diredhai. (Ayat 7)

.......ALLAH S.W.T YANG MENZAHIRKAN ALAM

ALAM SEKALIANNYA ADALAH KEGELAPAN DAN YANG MENERANGKANNYA ADALAH KERANA PADANYA KELIHATAN YANG HAQ (TANDA-TANDA ALLAH S.W.T). BARANGSIAPA MELIHAT ALAM TETAPI DIA TIDAK MELIHAT ALLAH S.W.T SAMA ADA DALAMNYA, DI SAMPINGNYA, SEBELUMNYA , ATAU SESUDAHNYA, MAKA DIA BENAR-BENAR MEMERLUKAN WUJUDNYA CAHAYA-CAHAYA ITU DAN TERTUTUP BAGINYA CAHAYA MAKRIFAT OLEH TEBALNYA AWAN BENDA-BENDA ALAM.

Alam ini pada hakikatnya adalah gelap atau ‘adam, tidak wujud. Wujud Allah s.w.t yang menerbitkan kewujudan alam. Tidak ada satu kewujudan yang berpisah daripada Wujud Allah s.w.t. Hubungan Wujud Allah s.w.t dengan kewujudan makhluk sekiranya dibuat ibarat (sebenarnya tidak ada sebarang ibarat yang mampu menjelaskan hakikat yang sebenarnya), perhatikan kepada api yang dipusing dengan laju. Kelihatanlah pada pandangan kita bulatan api.

Perhatikan pula kepada orang yang bercakap, akan kedengaranlah suara yang dari mulutnya. Kemudian perhatikan pula kepada kasturi, akan terhidulah baunya yang wangi. Wujud bulatan api adalah wujud yang berkaitan dengan wujud api. Wujud suara adalah wujud yang berkaitan dengan wujud orang yang bercakap. Wujud bau wangi adalah wujud yang berkaitan dengan wujud kasturi. Wujud bulatan api, suara dan bau wangi pada hakikatnya tidak wujud. Begitulah ibaratnya wujud makhluk yang menjadi terbitan daripada Wujud Allah s.w.t.

Wujud bulatan api adalah hasil daripada pergerakan api. Wujud suara adalah hasil daripada perbuatan orang yang bercakap. Wujud bau wangi adalah hasil daripada sifat kasturi. Bulatan api bukanlah api tetapi bukan lain daripada api dan tidak terpisah daripada api. Suara bukanlah orang yang bercakap tetapi bukan pula lain daripada orang yang bercakap. Walaupun orang itu sudah tidak bercakap tetapi masih banyak lagi suara yang tersimpan padanya. Bau wangi bukanlah kasturi tetapi bukan pula lain daripada kasturi. Walaupun bulatan api boleh kelihatan banyak, suara kedengaran banyak, bau dinikmati oleh ramai orang namun, api hanya satu, orang yang bercakap hanya seorang dan kasturi yang mengeluarkan bau hanya sebiji.

Agak sukar untuk memahami konsep ada tetapi tidak ada, tiada bersama tetapi tidak berpisah. Inilah konsep ketuhanan yang tidak mampu dipecahkan oleh akal tanpa penerangan nur yang dari lubuk hati. Mata hati yang diterangi oleh Nur Ilahi dapat melihat perkaitan antara ada dengan tidak ada, tidak bersama tetapi tidak berpisah. Atas kekuatan hatinya menerima sinaran Nur Ilahi menentukan kekuatan mata hatinya melihat kepada keghaiban yang tidak berpisah dengan kejadian alam ini. Ada 4 tingkatan pandangan mata hati terhadap perkaitan alam dengan Allah s.w.t yang menciptakan alam.


1: Mereka yang melihat Allah s.w.t dan tidak melihat alam ini. Mereka adalah umpama orang yang hanya melihat kepada api, bulatan api yang khayali tidak menyilaukan pandangannya. Walaupun mereka berada di tengah-tengah kesibukan makhluk namun, mata hati mereka tetap tertumpu kepada Allah s.w.t, tidak terganggu oleh kekecuhan makhluk. Lintasan makhluk hanyalah umpama cermin yang ditembusi cahaya. Pandangan mereka tidak melekat pada cermin itu.


2: Mereka yang melihat makhluk pada zahir tetapi Allah s.w.t pada batin. Mata hati mereka melihat alam sebagai penzahiran sifat-sifat Allah s.w.t. Segala yang maujud merupakan kitab yang menceritakan tentang Allah s.w.t. Tiap satu kewujudan alam ini membawa sesuatu makna yang menceritakan tentang Allah s.w.t.


3: Mereka yang melihat Allah s.w.t pada zahirnya sementara makhluk tersembunyi. Mata hati mereka terlebih dahulu melihat Allah s.w.t sebagai Sumber kepada segala sesuatu, kemudian baharulah mereka melihat makhluk yang menerima kurniaan daripada-Nya. Alam tidak lain melainkan perbuatan-Nya, gubahan-Nya, lukisan-Nya atau hasil kerja Tangan-Nya.


4: Mereka yang melihat makhluk terlebih dahulu kemudian baharulah melihat Allah s.w.t. Mereka memasuki jalan berhati-hati dan berwaspada, memerlukan masa untuk menghilangkan keraguan, berdalil dengan akal sehingga kesudahannya ternyatalah akan Allah s.w.t yang Wujud-Nya menguasai wujud makhluk.

Selain yang dinyatakan di atas tidak lagi dipanggil orang yang melihat Allah s.w.t. Gambar-gambar alam, syahwat, kelalaian dan dosa menggelapkan cermin hati mereka hingga tidak mampu menangkap cahaya yang membawa kepada makrifat. Mereka gagal untuk melihat Allah s.w.t sama ada di dalam sesuatu, di samping sesuatu, sebelum sesuatu atau sesudah sesuatu. Mereka hanya melihat makhluk seolah-olah makhluk berdiri dengan sendiri tanpa campur tangan Tuhan.

Anasir alam dan sekalian peristiwa yang berlaku merupakan perutusan yang membawa perkhabaran tentang Allah s.w.t. Perkhabaran itu bukan didengar dengan telinga atau dilihat dengan mata atau difikir dengan akal. Ia adalah perkhabaran ghaib yang menyentuh jiwa. Sentuhan tangan ghaib pada jiwa itulah yang membuat hati mendengar tanpa telinga, melihat tanpa mata dan merenung tanpa akal fikiran. Hati hanya mengerti setiap perutusan yang disampaikan oleh tangan ghaib kepadanya dan hati menerimanya dengan yakin.

Keyakinan itu menjadi kunci kepada telinga, mata dan akal. Apabila kuncinya telah dibuka, segala suara alam yang didengar, sekalian anasir alam yang dilihat dan seluruh alam maya yang direnungi akan membawa cerita tentang Tuhan. Abid mendengar, melihat dan merenungi Keperkasaan Tuhan. Asyikin mendengar, melihat dan merenungi keindahan Tuhan. Muttakhaliq mendengar, melihat dan merenungi kebijaksanaan dan kesempurnaan Tuhan. Muwahhid mendengar, melihat dan merenungi keesaan Tuhan.


Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun darihal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini?” (Allah sendiri menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Maha Mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!” ( Ayat 16 : Surah Mu’min )

Mereka telah mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan azab seksa kepada mereka sebagai balasan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa. ( Ayat 42 : Surah al-Qamar )
Ayat-ayat seperti yang di atas menggetarkan jiwa abid. Hati abid sudah ‘berada’ di akhirat. Alam dan kehidupan ini menjadi ayat-ayat atau tanda-tanda untuknya melihat keadaan dirinya di akhirat kelak, menghadap Tuhan Yang Esa, Maha Perkasa, tiada sesuatu yang tersembunyi daripada-Nya.

Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangi pandangan(mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan(mu) berkali-kali, nescaya pandangan(mu) itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). ( Ayat 3 & 4 : Surah al-Mulk )

Asyikin memandang kepada alam ciptaan dan dia mengulang-ulangi pemandangannya. Semakin dia memandang kepada alam semakin dia melihat kepada keelokan dan kesempurnaan Pencipta alam. Dia asyik dengan apa yang dipandangnya.



Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); bagi-Nya jualah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah Yang tidak ada tuluk banding-Nya, lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 24 : Surah al-Hasy-r )

Muttakhaliq menyaksikan sifat-sifat Tuhan yang dikenal dengan nama-nama yang baik. Alam adalah perutusan untuknya mengetahui nama-nama Allah s.w.t dan sifat-sifat Kesempurnaan-Nya. Setiap yang dipandang menceritakan sesuatu tentang Allah s.w.t.



Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu sembahlah akan Daku, dan dirikan sembahyang untuk mengingati Daku. ( Ayat 14 : Surah Taha )

Muwahhid fana dalam Zat. Kesedaran dirinya hilang. Melalui lidahnya muncul ucapan-ucapan seperti ayat di atas. Dia mengucapkan ayat-ayat Allah s.w.t, bukan dia bertukar menjadi Tuhan.


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. ( Ayat 1 – 7 : Surah al-Faatihah )

Mutahaqqiq kembali kepada kesedaran keinsanan untuk memikul tugas membimbing umat manusia kepada jalan Allah s.w.t. Hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t dan bergantung kepada-Nya. Kehidupan ini adalah medan dakwah baginya. Segala anasir alam adalah alat untuk dia memakmurkan bumi.

Apabila Nur Ilahi menerangi hati apa sahaja yang dipandang akan kelihatanlah Allah s.w.t di sampingnya atau sebelumnya atau sesudahnya.

.....Al-Fatihah

Al-Fatihah merupakan surah pertama yang diturunkan dengan lengkap di antara surah-surah yang ada di dalam Al-Quran.Ia dinamakan ‘Ummul Quran” (yang bermaksud induk Al-Quran) atau “Ummul Kitab” (yang bermaksud induk kitab) kerana ia merupakan induk atau ibu bagi semua isi Al-Quran, serta menjadi intisari dari kandungan Al-Quran, dan kerana itu diwajibkan membacanya setiap kali menunaikan solat.

Surah ini paling kurang dibaca berulang kali sebanyak 17 kali sehari. Mengapa ia berulang dan diulang?

Seniman seperti Alfred Jensen dan Robert Smithson menggunakan kemampuan mereka mengulangi apa yang berlaku pada alam untuk menghasilkan karya yang hebat. Dalam biologi dan ilmu sains, pengulangan (repetition) menjadi bukti tentang hipotesis yang berjaya. Dalam ilmu genetik, ia melibatkan proses replication, trancription dan translation. Semua ini melibatkan unsur pengulangan dengan kesan akhir yang berbeza – dan itulah yang mencengangkan dunia saintis. Lantas tercengangkah anda mengulang sab’ul-mathaani ( 7 ayat yang berulang-ulang) – surah al-Fatihah – paling tidak 17 kali sehari semalam ? Mari kita hayati beberapa manfaat pengulangan.

Dalam al-Quran, perkataan ‘berulang-ulang’ ini dikaitkan dengan perkataan mathaani . 2 kali perkataan ini digunakan.

39-23

[39:23] Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

Selain itu pada ayat berikut:

15-87

[15:87] Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.

Menurut hadith riwayat Abu Hurairah, Nabi bersabda:

«أُمُّ الْقُرْآنِ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنُ الْعَظِيم»

Maksudnya: Ummul Quran ialah 7 ayat berulang-ulang dan al-Quran yang hebat.

Menurut Quraisy Shihab, seorang ulama tafsir, mathaani atau berulang-ulang ini disebabkan kandungan pesanan setiap ayat terulang-ulang dalam ayat-ayat al-Quran yang lain.

Satu Perkara, Diterangkan Ayat Yang Sama atau Berlawanan

Pengulangan yang dimaksudkan dalam ayat di atas boleh dijelaskan oleh ayat lain dalam al-Quran dan kekadang Allah meletakkan lawan kepada perkara yang sama. Ini dijelaskan oleh Ibn Katheer dalam tafsirnya:

ayat tertentu di dalam al-Quran merujuk kepada satu perkara – ada ayat yang menyerupai yang lain, dan pada masa lain menerangkan satu perkara diikuti lawan kepada perkara tersebut.

Sebagai contoh untuk satu perkara dengan dua ayat berlawanan bagi menerangkannya, kita boleh perhatikan ayat berikut:

[82:13]
(Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) – kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;
[82:14]
Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.

Manakala bagi satu perkara yang diterangkan oleh ayat-ayat yang sama isi kandungan topiknya:

[83:7]
Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam “Sijjiin”.
[8]
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia “Sijjiin” itu,
[9]
Ialah (tempat simpanan) kitab catitan yang jelas nyata, (yang menghimpunkan amalan orang-orang yang berdosa).
[10]
Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan -
[11]
Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan.
[12]
Dan tiada yang mendustakannya melainkan tiap-tiap orang yang melampaui batas (kebenaran), lagi amat derhaka!
[13]
(Sehingga) apabila ia dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata:” Ini ialah dongeng orang-orang dahulu kala!”
[14]
Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.
[15]
Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya.
[16]
Kemudian, sesungguhnya mereka akan menderita bakaran neraka.
[17]
Akhirnya dikatakan (kepada mereka): “Inilah dia (azab seksa) yang kamu dustakan dahulu.”
[18]
Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam” Illiyiin”.

Apabila sesuatu perkara diulang-ulang dalam bentuk yang berbeza, ia akan menjadi pedoman yang kukuh dalam diri manusia. Inilah yang berlaku pada al-Fatihah.

quran5

Ulang membawa perspektif baru

Cuba perhatikan ar-rahman ar-raheem pada kalimah Bismillah (kali pertama) dan ar-rahman ar-raheem selepas ayat Alhamdulillahi rabbil ‘alamin (kali kedua). Salah satu sebab ia diulang pada surah yang sama kerana pada kali pertama, ia menekankan nama Allah yang baik (asmaullahul husna). Manakala bagi kali kedua, ia dinyatakan kerana pentadbiran dan penjagaan Allah pada alam (rabbil alamin) ini bukanlah untuk mendapatkan ganjaran seperti manusia mendidik serta menjaga sesuatu. Tetapi Allah menjaganya atas kasih sayang – merujuk kepada ar-rahman ar-raheem.

Bukankah kita nampak Allah mengulang ar-rahman ar-raheem pada surah yang sama sahaja sudah memberi perspektif baru. Apatah lagi apabila diulang berkali-kali. Inilah yang berlaku pada al-Fatihah jika misterinya diungkap.

Mengulang menimbulkan makna mendalam

Apakah tazkirah? Peringatan yang berulang-ulang. Apabila seseorang berzikir, ia mengingat Allah berulang-ulang – dan ia menimbulkan ketenangan. Zikir sukar memberi ketenangan kalau dibuat hanya sekali sahaja.

Dalam Surah az-Zariyat, Allah berfirman:

[51:55]
Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.

Peringatan memberi manfaat kerana ia berulang-ulang dan menyentuh kepada hati orang beriman. Mungkin kali pertama, sesuatu itu hanya lalu di telinga sahaja. Kali kedua, ia difahami pada minda. Kali ketiga, ia mungkin akan menyentuh perasaan. Dan kali seterusnya, ia akan menimbulkan getaran pada jiwa lantas menggenangkan air mata. Ini yang diterangkan pada ayat berikut:

[8:2]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Inilah yang berlaku pada al-Fatihah yang difahami maksudnya.

10,000 kali diulang

10,000 hour rule adalah istilah yang digunakan oleh Malcolm Gladwell dalam bukunya Outliers. Jika 10,000 jam digunakan untuk berbuat sesuatu kemahiran, individu akan menjadi pakar. Bill Gates memperoleh peluang untuk ‘programming’ sejak usia muda – lebih awal dari individu lain. Ketika usia masuk kolej, beliau sudah pun berpeluang menjejak 10,000 jam untuk melaksanakan aktiviti programming. Inilah formula untuk menjadi pakar dalam sesuatu perkara.

Berapa lama anda sudah tadabur dan memerhati maksud al-Fatihah? Walaupun tidak semestinya mencapai 10,000 , namun jika ia diulang-ulang setiap hari dengan pemahaman selama 1 jam (sekitar 10 minit setiap kali solat), maka ia pasti akan memberi lonjakan kepada diri seseorang selepas solat 10,000 hari atau 27 tahun hari (hanya kiraan jika al-Fatihah hanya dibaca bagi solat wajib dalam kehidupan). Kalau diikuti solat sunat, anda hanya perlukan minimum 13 tahun bagi menjadi expert untuk beramal dengan al-Fatihah.

Persoalannya bagaimana saya dan anda mengulang-ulang al-Fatihah tersebut? Jika ia diulang tanpa kefahaman, kita akan menjadi ‘pakar’ tahap tanpa kefahaman. Namun jika kita ‘pakar’ dengan kefahaman mendalam tentang al-Fatihah, ia akan memberi jawapan pelbagai cabaran bisnes, kehidupan, akademik, keluarga, masyarakat, ekonomi dan pelbagai aspek kehidupan.

Di sinilah seruan untuk mendalami Ummu al-Quran. al-Quran itu perlukan tadabbur – istilah yang menunjukkan kita ‘merenung berkali-kali’.

Quran itu Bacaan Yang Diulang-Ulang
Perkataan Quran itu sendiri bermaksud bacaan yang diulang-ulang. Jika seseorang tidak membaca isi kandungan kitab mukjizat ini berulang kali, ia sebenarnya tidak memenuhi maksud Quran yang sebenar-benarnya. Malah Saidina Abu Bakar ada menekankan kehebatan al-Quran:

Siapa yang dianugerahi al-Quran kemudian menganggap ada seseorang yang dianugerahi kenikmatan duniawi yang lebih utama darinya, maka dia telah meremehkan yang agung dan mengagungkan yang remeh.

Jikapun kita tidak lagi memahami 100% al-Quran, mendalami al-Fatehah yang dikenali sebagai juga as-Sab’al Mathaani oleh sebahagian ulama ini sudah cukup untuk memberi kehebatan bagi yang beramal. Hadith diriwayatkan at-Tirmizi menjelaskan Nabi bersabda:

Demi Tuhanyang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, Allah tidak menurunkan di dalam Taurat, Injil mahupun Zabur dan al-Quran suatu surah seperti as-Sab’al Mathaani

Apakah yang special dalam surah ini? Inilah yang perlukan usaha dan kesungguhan kita. Kalau untuk mengembangkan bisnes, ramai boleh meluangkan masa menghadiri workshop bagaimana menjadi jutawan. Kalau untuk mendapatkan pekerjaan bagus, ramai sanggup luangkan masa 4 tahun untuk mendapatkan sekeping ijazah. Sudah tentu untuk memahami surah yang hebat ini, ia perlukan masa anda untuk diluangkan.

Ya Allah, jadilah kami orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran. Serta jadikan al-Quran sebagai nuur kepada diri kami. Serta al-Fatihah kami difahami serta terjelma dalam kehidupan.


Surah al-Fatihah (Quran secara keseluruhan) merupakan NUR kasih sayang daripada Allah.

Muqadimah Cinta

Kalau Ibn Khaldun, beliau ada menulis sebuah buku yang panjang. Namun ramai yang kenal pengenalan kepada bukunya tersebut, malah tajuknya lebih dikenali daripada buku asalnya, Kitab al-Ibar. Tajuk buku dari pengenalan bukunya itu ialah Muqaddimah. Membaca Muqaddimah sahaja sudah cukup memberi gambaran luas pada kitab besar yang ingin ditulisnya. Cuba bayangkan kalau Muqaddimah versi bahasa Inggeris sahaja lebih 460 halaman. Bagaimana pula kalau kita mengetahui tentang Muqadimah Cinta – hanya 1 bahagian sahaja dirasai daripada 100 bahagian secara keseluruhan ? Tidakkah kita ingin mengetahui 100 bahagian itu?

Dari Abu Hurairah r.a, katanya:

Saya mendengar Rasulullah SAW bersabada,:

“Tuhan menciptakan rasa kasih sayang itu 100 bahagian. 99 daripadanya disimpanNya di sisiNya. 1 bahagian sahaja yang diturunkanNya ke atas dunia. Dengan kasih sayang yang 1 bahagian itulah para makhluq saling berkasih sayang, sehingga kuda mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya.” (Hadis Sahih Bukhari)

Nampak jelas bahawa kasih sayang (rahmat) dari Allah yang ada di atas muka bumi ini hanya 1/100. Hanya 1%. Dan apa yang diterangkan oleh Allah dalam contoh di atas?

… para makhluq saling berkasih sayang, sehingga kuda mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya…

Apakah perkara lain yang menunjukkan kasih sayang sesama manusia yang besar?

Kasih sayang ibu

Kita perhatikan dalam hadith berikut:

`Umar ibn Al-Khattab berkata: Beberapa tahanan dibawakan kepada Rasulullah dan ada seorang wanita yang ada susu. Tiba-tiba, wanita ini melihat seorang bayi di tengah-tengah tahanan. Dia mengambilnya, meletakkan di bawah tudungnya dan mula menyusukannya. Nabi memberitahu sahabat, “Adakah kamu fikir wanita ini akan melontarkan anak ini ke dalam api?” Kami berkata, “Tentu tidak, demi Allah dia tidak akan berbuat demikian, jika dia mampu berbuat demikian.” Nabi berkata, “Allah Yang Maha Terpuji lebih rahmat dengan hamba-Nya daripada wanita dengan anaknya.” (al-Bukhari)

Cinta Suami Isteri

Dalam al-Quran, Allah juga menerangkan tentang hubungan suami isteri sebagai bukti mawaddah dan rahmat. Namun rahmat manusia ini tidak lebih dari 1/100 rahmat Allah. Apakah tafsiran mawaddah dan rahmat sebagaimana dalam ayat ini:

[30:21]
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan mawaddah dan rahmat. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Banyak mufassir menyatakan bahawa mawaddah berkait dengan kasih sayang ketika objek dicintai tidak memerlukan cinta atau kasih manakala rahmat dikaitkan dengan objek cinta yang memerlukan cinta dan kasih. al-Biqa’i, salah seorang ulama tafsir menyatakan: mawaddah adalah kelapangan dada dan kekosongan jiwa dari kehendak buruk. Ia bukan sekadar cinta biasa tetapi cinta plus. Ia adalah cinta yang nampak buahnya dalam sikap dan perlakuan, serupa dengan kepatuhan sebagai hasil rasa kagum kepada seseorang.

Mawaddah dalam al-Quran dan Mawaddah Romeo Juliet

Ibn Qoiyim ada menulis tentang cinta dalam bukunya Raudhatul Muhibbien. Cinta Laila Majnun iala cinta Romeo Juliet versi Arab. Ibn Qoiyim banyak membincangkan tentang konsep cinta yang amat luas.

Cinta Romeo Juliet adalah lambang cinta boyfriend-girlfriend zaman sekarang? Adakah ia dibenarkan? Adakah ia dilarang? Bagaimana kaitan dengan cinta pada Allah, Rasul dan ibu bapa?

Ini dapat difahami dengan melihat muqadimah atau pembukaan atau pengenalan kepada cinta (hatta diulang dua kali perkataan ar-rahman dan ar-raheem) sebagaimana yang ada dalam ummul-kitaab. Jika seseorang memahami fatihatul-kitaab tersebut, ia akan memberi jawapan kepada cinta yang sebenarnya. Lafaz cinta itu diulang min 17 kali sehari.

Adakah anda mempunyai salah satu atau lebih ciri berikut?

  • Tidak nampak atau jelas kaitan cinta dan al-Fatehah
  • Tidak pasti manakah bahagian al-Fatehah yang amat penting dan mencakup keseluruhan surah ini dan al-Quran
  • Mengapa Allah mengulang 2 kali ar-rahman dan ar-rahim?
  • Apa beza ar-rahman pada Bismillah dan pada ayat selepas Alhamdulillahi rabbil alamin?
  • Mengapa Allah menggunakan kaedah ‘kata ganti diri ketiga’ dalam ayat awal-awal al-Fatehah tetapi menggunakan ‘kami dan engkau’ pada tengah-tengah al-Fatehah?
  • Mengapa dinamakan al-Fatehah ? Apa kaitan dengan kewajipan dalam solat? Penting sangatkah?
  • Cukupkah kalau memahami al-Fatehah ini sahaja untuk berjaya?
  • Tahukah anda konsep ‘continuous quality improvement’ ada dalam al-Fatehah – dan ia bukan dibuat-buat tetapi dijiwai oleh generasi terdahulu sehingga tahap cinta mereka amat ‘power’?

Kalau ada, inilah masa untuk anda bertanya atau mengikuti program Muqadimah Cinta. Apabila ia jelas, ia akan menjadikan diri anda lebih rindu, asyik, angau dan tenang dengan yang dicintai.

Ya Allah, jadikan aku mencintai orang-orang yang mencintaiMu.


Manifestasi kepada pengucapan 2 kalimah syahadah kita. Asas Islam dalam al-Fatihah. Al-Fatihah mengajar erti mengenal kewujudan diri.

Dalam bukunya The Presence, Peter M Senge berkongsi pengalamannya bagaimanakah untuk mencari erti ‘kewujudan’ dan ‘kehadiran’ pada diri. Jika sesiapa pernah membaca bukunya The Fifth Discipline yang banyak menyatakan teori pengurusan, The Presence lebih membawa kepada kaedah menentukan kebenaran dan kepastian kebenaran itu sendiri. Inilah yang menimbulkan detik kepada hati saya: mengapa orang-orang ini perlu berusaha sejauh ini? Tidak cukupkah hidup mereka?

calm

Dalam pengalaman lain, saya bertemu dengan seorang ibu yang juga menyatakan: “di mana Tuhan? Bagaimana saya ingin merasakan kehadiran Tuhan dalam diri saya? Bagaimana saya mampu mendekati Tuhan?” Ini juga persoalan ‘kewujudan’ dan ‘kehadiran’. Apabila seseorang itu merasakan kosong dalam diri, realiti kewujudan dan kehadiran ini akan dicari sesungguh mungkin.

Adakah umat Islam sudah kenal ’kewujudan’?

Sepatutnya umat Islam adalah kumpulan yang tidak ada masalah dengan persoalan ’kewujudan’ dan ’kehadiran’ ini. Namun ia bukanlah jaminan kerana dalam Islam, ada tiga aspek yang mendasari agama ini:

1) Aqidah – dikaitkan dengan rukun Iman

2) Syariat – dikaitkan dengan rukun Islam

3) Akhlak – dikaitkan dengan rukun Ihsan

Antara akidah, syariat dan akhlak, manakah yang lebih utama? Sirah membuktikan kepentingan akidah ini dibina dahulu. Akidah akan menghasilkan akhlak yang mulia. Syariat adalah unsur yang banyak dijelaskan di Madinah lantaran untuk akidah dan akhlak, masing-masing boleh bertindak sendiri. Namun hal kehidupan harian serta pengendalian manusia ini perlukan kepada undang-undang yang mantap – dinamakan syariat dalam Islam.

Apabila akidah menjadi teras utama, ia boleh menjadi kayu ukur untuk kita mengenalpasti sudah kenalkah umat Islam pada erti ’kewujudan’ sebenarnya? Masalah sosial dan kemunduran umat Islam ada kaitan dengan akidah yang dianutinya. Kalau inilah hakikatnya, jawapan kepada persoalan kenal atau tidak boleh disimpulkan dengan: ramai yang tidak kenal ’kewujudan’ diri sendiri.

Soalan-soalan kenal ’kewujudan’

Kalau seseorang itu kenal ’kewujudan’ yang sebenarnya, ia berada dalam keadaan sedar.

Sedarkah kerja yang perlu dilaksanakan sekarang untuk menuju negeri abadi?

Sedarkah negeri abadi itu amat berharga?

Sedarkah Tuhan yang mempunyai 99 nama ?

Sedarkah bagaimana mengamalkan secara praktikal 99 nama Allah itu ?

Sedarkah Tuhan yang perlu kita ’nampak’, jika tidak Dia tetap nampak apa yang kita laksanakan?

Perlunya kenal ’kewujudan’

Kewujudan kita adalah jatidiri kita. Jika kita kenal, banyak natijahnya:

  • Seseorang akan menyedari potensi dirinya
  • Seseorang akan menjadi amat bersemangat dalam kehidupan
  • Ia akan menyebabkan kita cepat membaiki diri daripada kesilapan
  • Ia akan menjadikan kita hamba yang efisien
  • Ia akan mengelakkan masalah yang banyak dan keresahan tidak kunjung padam
  • Ia akan menyebabkan diri mampu dikawal dengan izin Allah dan tidak hanya berharap sumber luar untuk memberi motivasi dan semangat.
  • Dan banyak lagi kesan apabila seseorang itu tahu di mana dirinya dalam usaha untuk menuju kepada negeri abadi

Tips praktikal mengenal ’kewujudan’ diri

Ternyata surah al-Fatehah ada menyatakan tips ini yang perlu diulang-ulang bacaannya setiap hari agar ia terpahat dalam diri sehingga seseorang itu sedar kewujudan dirinya.

1) Kenali dan puji Tuhan yang layak diberi segala pujian. Ia memerlukan tafakur yang mendalam sehingga setiap kali kita mengulang ayat Alhamdulillahi rabbil alamin, akan bergetar dalam jiwa kehebatan Allah. Getaran dalam jiwa memerlukan resonan dengan peringkat yang lebih rendah – fizikal, intelek dan emosi. Barulah resonan apabila mengingati nama Allah mampu dikecapi.

2) Bukan setakat puji, ia perlu dilaksanakan dengan memberi dan memberi dan memberi kebaikan. Berilah kasih, sayang, senyum, nasihat dan banyak lagi. Ia akan menyebabkan ’resonan’ pada kewujudan makin jelas dan tiada tolok bandingnya.

3) Buat sesuatu itu bukan sekadar dalam bentuk amalan pada sesuatu masa dan ditujukan pada fizikal tertentu sahaja, namun perlu dijuruskan kepada hari akhirat. Individu yang tidak sedar dirinya ke akhirat akan menjadikan hidup ini cepat kosong atau tidak bermaya.

4) Kenallah bahawa diri perlu beribadah atau beramal dan dalam masa yang sama perlu menuntut pertolongan daripada Allah, bukan dari manusia yang ada had pertolongannya. Jika ada beramal dengan sesuatu perkara untuk menguatkan diri, pastikan amalan itu berunsurkan akidah yang mampu dilaksanakan ketika berseorangan atau berjemaah. Jika hal ini tidak diambil kira, ia akan menyebabkan seseorang itu akan cepat kosong dan lost dalam pencarian serta mengenalpasti ’kewujudan’.

5) Minta petunjuk dari Tuhan dengan keyakinan. Manusia hanya sebagai pemandu – bukan sebagai tujuan untuk didekati apatah lagi menjadi sebagai ’hamba’.

6) Cari contoh daripada orang beriman yang sudah terbukti keimanannya, bukan daripada individu yang tidak pasti dalam kehidupan – terutama di kalangan orang Yahudi dan Nasrani. Yahudi dan Nasrani adalah archatype individu yang ada ilmu tetapi dilanggar dan individu yang kurang jelas (kurang ilmu).

Semoga kita menjadi individu yang sedar jatidiri kita agar tidak mudah tersasar dan lemah dalam kehidupan.

Muslim perlu hebat pada sunnatullah dan syariatullah.

Bina hubungan baik dengan Allah, bina hubungan baik sesama makhluk ciptaanNya.

Manusia ada hala tujuan hidup yang sangat besar. Redha Allah dan syurga.

Iman akan memandu segala perbuatan, emosi dan cara kita berfikir. Mastering your PIES.

Antara aspek penting yang ditekankan di dalam surah ini : C A S I C

CONNECT

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.(1)

ACKNOWLEDGE

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (2) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (3) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). (4)

SERVE

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5)

INQUIRE

Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6)

CHOICE

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7)

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.

(Al-Hijr : 87)


Sunday, June 20, 2010

Al-Fatiha



[1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.
[3]
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[4]
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat).
[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6]
Tunjukilah kami jalan yang lurus.

[7]
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.